15
Nyanyian mereka yang menang 
 1 Aku melihat pula di langit suatu alamat lagi, yang besar dan ajaib, iaitu tujuh malaikat membawa tujuh wabak terakhir, maka dengannya selesailah kemurkaan Allah.  2 Kulihat seakan-akan laut kaca bercampur api. Mereka yang menang menghadapi dugaan binatang itu, patungnya, tandanya dan angka namanya, berdiri di atas laut kaca itu memegang kecapi Allah.  3 Mereka menyanyikan nyanyian Musa, hamba Allah, dan nyanyian Anak Domba: 
‘Agung dan ajaib pekerjaan-Mu, 
Allah Tuhan Maha Kuasa! 
Benar dan adil setiap jalan-Mu, 
Ya Raja segala bangsa! 
 4 Siapakah yang tidak takut kepada-Mu, 
Ya Tuhan, 
dan memuliakan nama-Mu? 
Kerana hanya Engkaulah Yang Maha Suci. 
Semua bangsa akan datang 
dan sujud menyembah-Mu, 
kerana penghakiman-Mu telah ternyata.’ 
 5 Setelah itu aku melihat pula dan ternampak tempat suci dalam khemah kesaksian di syurga terbuka.  6 Dari tempat suci itu keluarlah tujuh malaikat yang membawa tujuh wabak itu, berpakaian suci murni berseri-seri, dada mereka dililiti pending emas.  7 Kemudian salah satu daripada empat makhluk itu memberi tujuh malaikat itu tujuh mangkuk emas dipenuhi kemurkaan Allah yang hidup selama-lamanya.  8 Rumah ibadat Allah dipenuhi asap daripada kemuliaan dan kuasa-Nya dan tiada siapa dapat memasukinya hingga tujuh wabak yang dibawa oleh tujuh malaikat itu selesai.