8
Imam Besar perjanjian baru 
 1 Pokok segala yang kami katakan: Kita mempunyai Imam Besar yang duduk di sebelah kanan takhta Allah Yang Maha Mulia di syurga.  2 Dia adalah Penjawat di tempat suci dan di khemah sejati, yang dibina oleh Tuhan, bukan oleh manusia. 
 3 Setiap Imam Besar dilantik untuk membuat persembahan dan korban. Oleh itu Imam Besar ini juga mesti ada sesuatu untuk dipersembahkan.  4 Sekiranya Dia di bumi, Dia tidaklah menjadi imam, kerana ada imam yang membuat persembahan menurut hukum Taurat.  5 Imam di dunia mempersembahkan salinan dan bayang-bayang perkara di syurga. Demikianlah arahan kepada Musa tatkala dia bersedia untuk membuat khemah itu. Allah berfirman, ‘Pastikan bahawa engkau membuat segalanya menurut contoh yang ditunjukkan kepadamu di atas gunung itu.’  6 Tetapi sekarang Dia telah mendapat jawatan yang lebih tinggi, kerana Dia juga menjadi Pengantara bagi perjanjian yang lebih baik, yang diasaskan pada janji-janji yang lebih baik. 
 7 Andainya perjanjian pertama itu tidak bercela, tidaklah perlu diadakan perjanjian lagi.  8 Tetapi Allah telah mendapati mereka bercela lalu berfirman: 
‘Lihatlah, akan tiba harinya, firman Tuhan, 
apabila Aku membuat perjanjian baru dengan kaum Israel 
dan dengan kaum Yahuda – 
 9 tidak seperti perjanjian 
yang telah Kubuat dengan nenek 
moyang mereka 
ketika Aku membimbing tangan mereka 
untuk membawa mereka keluar dari 
tanah Mesir, 
kerana mereka tidak terus-menerus 
memegang janji-Ku, 
lalu Aku berpaling daripada mereka; 
demikian firman Tuhan. 
 10 Inilah perjanjian yang akan Kubuat 
dengan kaum Israel 
selepas zaman itu, Tuhan berfirman. 
Aku akan meletakkan hukum-Ku di dalam 
fikiran mereka 
dan menuliskannya di hati mereka; 
Aku akan menjadi Allah Tuhan mereka, 
dan mereka akan menjadi umat-Ku. 
 11 Tiada seorang pun daripada mereka 
akan mengajar jirannya atau 
saudaranya dengan berkata, 
“Kenalilah Tuhan,” 
kerana semuanya akan mengenal-Ku, 
daripada yang terkecil kepada yang 
terbesar antara mereka. 
 12 Aku akan berbelas kasihan terhadap 
kesalahan mereka; 
dan dosa serta perbuatan mereka 
yang ingkar tidak akan 
Kuingati lagi.’ 
 13 Dengan menyebut ‘perjanjian baru,’ Tuhan telah menjadikan perjanjian pertama dahulu tidak terpakai lagi. Sesuatu yang kian tidak terpakai dan usang sudah sampai masanya untuk lenyap.