5
Doa Minta Perlindungan 
1 Untuk pemimpin koir. Dengan iringan suling. Mazmur Daud. 
2 Ya TUHAN, dengarkanlah kata-kataku, 
dengarkanlah keluhanku. 
3 Ya Allahku, Rajaku, 
dengarlah rintihanku dan tolonglah aku. 
Aku berdoa kepada-Mu, ya TUHAN; 
4 pada waktu pagi Engkau mendengar suaraku; 
ketika matahari terbit aku mempersembahkan doaku, 
dan menanti-nantikan jawapan-Mu. 
5 Ya Allah, Engkau tidak suka akan perbuatan jahat; 
Engkau tidak membenarkan orang jahat berada di hadirat-Mu. 
6 Engkau tidak tahan melihat orang sombong; 
Engkau membenci semua orang jahat. 
7 Engkau memusnahkan semua pembohong, 
dan menghina pengganas dan penipu. 
8 Tetapi demi kasih-Mu yang besar, 
aku dapat masuk ke Rumah-Mu. 
Aku boleh menyembah Engkau di dalam Rumah-Mu yang suci, 
dan bersujud di hadapan-Mu dengan hormat. 
9 Ya TUHAN, amat banyak musuhku; 
pimpinlah aku melakukan kehendak-Mu, 
dan tunjukkanlah jalan-Mu yang harus aku tempuh. 
10 Kata-kata musuhku tidak boleh dipercayai; 
rancangan mereka jahat sekali; 
kata-kata mereka manis memikat, 
tetapi penuh dengan niat jahat.  
11 Hukumlah mereka, ya Allah; 
biarlah mereka celaka kerana rancangan mereka sendiri. 
Usirlah mereka kerana dosa mereka yang banyak itu 
serta pemberontakan mereka terhadap-Mu. 
12 Semoga semua orang yang berlindung kepada-Mu gembira; 
dan bernyanyi dengan sukacita selama-lamanya. 
Lindungilah mereka yang mengasihi Engkau, 
supaya mereka sungguh berbahagia kerana Engkau. 
13 Engkau memberkati mereka yang taat kepada-Mu, ya TUHAN; 
kasih-Mu melindungi mereka seperti perisai.