2
Tanggungjawab orang tua dan muda
1 Kamu harus sampaikan ajaran yang selaras dengan asas kepercayaan yang benar. 2 Nasihatilah lelaki yang lebih tua supaya hidup sederhana, dihormati orang, mempunyai penguasaan diri, kuat beriman, penuh dengan kasih dan kegigihan.
3 Seterusnya, nasihatilah perempuan yang lebih tua supaya berkelakuan santun: jangan menjadi pengumpat, peminum, sebaliknya ajarkanlah kebaikan. 4 Dengan demikian dapatlah perempuan yang lebih tua membimbing perempuan muda supaya mengasihi suami dan anak-anak, 5 pandai mengawal diri, suci, menjadi suri rumah yang rajin, baik hati, dan taat kepada suami. Maka tidaklah dapat orang mencela perkhabaran Allah.
6 Orang lelaki muda pula, nasihatilah mereka supaya mengawal diri. 7 Jadilah teladan kepada mereka dengan melakukan perbuatan yang baik. Ajarlah mereka dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh 8 dan gunakan kata-kata bijak yang tidak dapat dicela, supaya musuhmu malu kerana gagal mencari kesalahan kita.
9 Ajarkan hamba supaya mematuhi perintah dan menyenangkan hati tuannya dalam semua perkara. Hamba tidak harus membantah 10 atau mencuri, sebaliknya hendaklah sentiasa amanah sehingga dalam segala hal mereka menjadikan ajaran tentang Allah Penyelamat kita itu menarik.
11 Hal ini demikian kerana kasih kurnia Allah yang menyelamatkan seluruh umat manusia telah nyata. 12 Kita diajar supaya hidup warak, tidak memburu hal-hal duniawi, mengawal diri, ikhlas, dan menghormati Allah pada zaman ini. 13 Kita sedang menunggu Hari yang kita harap-harapkan, ketika kemuliaan Allah Maha Besar dan Isa al-Masih Penyelamat kita akan terserlah. 14 Al-Masih telah mengorbankan nyawa-Nya untuk membebaskan kita daripada segala kejahatan, menyucikan kita, menjadikan kita milik-Nya serta mendorong kita berbuat baik.
15 Ajarkanlah segala ini, dan galakkan serta tegur semua yang mendengar kata-katamu dengan penuh wibawa. Jangan biarkan sesiapa memandang rendah kepadamu.