2
Ahli ilmu bintang dari Timur
Isa dilahirkan di Baitlahim, Yudea, semasa pemerintahan Raja Herodes. Tidak lama kemudian datanglah beberapa orang ahli ilmu bintang dari Timur ke Baitulmaqdis. Mereka bertanya, ‘Di manakah Anak yang baru lahir, yang akan menjadi Raja orang Yahudi? Kami melihat bintang-Nya muncul di Timur, dan kami datang hendak menyembah-Nya.’
Apabila mendengar perkara itu, Raja Herodes berasa risau, begitu juga semua penduduk Baitulmaqdis. Raja Herodes memanggil semua ketua imam dan guru Taurat berhimpun lalu bertanya, ‘Raja yang dijanjikan oleh Allah itu, di manakah tempat lahirnya?’ Mereka menjawab, ‘Di Baitlahim, Yudea. Seorang nabi telah bernubuat tentangnya:
 
‘Hai Baitlahim di Yudea,
Kau bukanlah yang terkecil antara kota utama Yudea,
kerana daripadamu akan muncul seorang Pemimpin
yang akan memimpin umat-Ku Israel.’
 
Setelah itu Raja Herodes berjumpa secara rahsia dengan ahli-ahli ilmu bintang itu dan mendapat tahu daripada mereka dengan tepat bila bintang itu terbit. Raja Herodes menyuruh ahli-ahli ilmu bintang pergi ke Baitlahim dengan perintah demikian: ‘Pergilah dan carilah Anak itu sedaya upaya. Apabila kamu menjumpai-Nya beritahulah aku, supaya aku juga dapat pergi menyembah-Nya.’
Mereka pun pergi. Di pertengahan jalan, mereka melihat bintang yang telah muncul di Timur dahulu kini mendahului mereka dan berhenti di atas tempat Anak itu. 10 Sungguh gembira mereka apabila melihat bintang itu. 11 Mereka masuk ke situ dan melihat Anak itu dengan ibu-Nya Maryam. Mereka pun sujud menyembah Anak itu, lalu mempersembahkan emas, dupa dan mur kepada-Nya. 12 Allah memberikan peringatan kepada mereka melalui mimpi supaya jangan kembali kepada Herodes. Oleh itu mereka pun pulang ke negeri mereka mengikut jalan lain.
Hijrah ke Mesir
13 Selepas itu malaikat Tuhan menampakkan diri dalam mimpi kepada Yusuf lalu berkata, ‘Herodes akan mengeluarkan perintah supaya mencari dan membunuh Anak itu. Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir. Tinggallah di situ hingga Aku berfirman kepadamu.’
14 Yusuf pun bangun. Pada malam itu juga dia membawa Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir. 15 Mereka tinggal di situ hingga kematian Raja Herodes. Maka berlakulah firman Tuhan menerusi nabi-Nya: ‘Aku memanggil Putera-Ku keluar dari Mesir.’
16 Setelah Raja Herodes sedar dirinya ditipu oleh ahli-ahli ilmu bintang dari Timur itu, dia pun marah lalu mengeluarkan perintah untuk membunuh semua anak lelaki yang berusia dua tahun ke bawah di Baitlahim dan kawasan yang berdekatan. Usia itu berdasarkan maklumat yang diberikan oleh ahli-ahli ilmu bintang tentang masa bintang itu mula-mula muncul. 17 Oleh yang demikian berlakulah apa yang dinubuatkan oleh Yeremia:
 
18 ‘Satu suara terdengar di Ramah,
rintih ratap dan perkabungan.
Rahel meratapi anak-anaknya,
tidak mungkin dilipur hatinya,
kerana mereka tiada lagi.’
Pulang dari Mesir
19 Selepas kematian Herodes, malaikat Tuhan menampakkan diri dalam mimpi kepada Yusuf di Mesir. 20 Kata malaikat itu, ‘Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke tanah Israel, kerana orang yang hendak meragut nyawa Anak itu telah mati.’
21 Yusuf pun bangun lalu membawa Anak itu dan ibu-Nya ke tanah Israel. 22 Tetapi apabila mendengar bahawa Arkelaus telah naik takhta menggantikan bapanya Herodes di Yudea, Yusuf pun takut pergi ke sana. Setelah mendapat peringatan daripada Allah dalam mimpi, dia pun pergi ke Galilea. 23 Dia menetap di kota yang bernama Nasaret. Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh para nabi: ‘Dia akan dipanggil Orang Nasaret.’